PETALING JAYA: Program Bazar Ramadan Rahmah terus mendapat sambutan hangat apabila sebanyak 116 lokasi dianjurkan di seluruh negara tahun ini, melibatkan kira-kira 3,000 peniaga yang menawarkan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada rakyat mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga mampu beli, selaras dengan usaha kerajaan meringankan kos sara hidup sepanjang Ramadan.
“Alhamdulillah, tahun ini sebanyak 116 lokasi Bazar Ramadan Rahmah dianjurkan di seluruh negara dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga.
“Mereka menyediakan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah sebagai pilihan mampu beli untuk rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurutnya, KPDN turut memperkenalkan pelbagai insentif bagi memastikan kesinambungan program itu.
Antaranya termasuk kad diskaun khas untuk pembelian bahan mentah, sekali gus membantu peniaga mengekalkan harga rendah tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Fuziah yang turun padang meninjau suasana di Johor Bahru berkata, beliau melihat sendiri bagaimana Menu Rahmah menjadi pilihan utama pengunjung.
“Ramai yang terus mencari gerai bertanda Rahmah terlebih dahulu sebelum membeli juadah lain.
“Ini menunjukkan Menu Rahmah bukan lagi sekadar pilihan tambahan tetapi telah menjadi satu keperluan bagi ramai keluarga untuk berjimat sepanjang Ramadan,” katanya.
Beliau berkata, KPDN akan terus memantau pelaksanaan program ini bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan sasar, selain membantu merancakkan ekonomi setempat.








