PETALING JAYA: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyambut baik langkah Kerajaan MADANI menambah baik bantuan diesel dan sokongan kepada sektor pertanian, sekali gus meringankan beban kos operasi petani serta peladang.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran sektor agromakanan ketika ketidaktentuan ekonomi global.
Bantuan tersebut, katanya, bukan sekadar sokongan kewangan semata-mata, sebaliknya merupakan ‘talian hayat’ kepada kelangsungan rantaian makanan negara.
“Kalau sawah berhenti, dapur rakyat pun akan sunyi.
“Peningkatan bantuan kerajaan perlu disusuli dengan peningkatan hasil oleh peladang, pesawah dan usahawan agro di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mahfuz berkata, sektor pertanian tidak boleh bergantung kepada subsidi semata-mata tanpa peningkatan produktiviti yang sepadan.
“Kerajaan sudah buat bahagiannya, sekarang giliran peladang pula untuk tunaikan tanggungjawab,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa bantuan yang disalurkan perlu digunakan secara optimum bagi meningkatkan pengeluaran dan bukan sekadar menampung kos operasi.
“Kalau bantuan naik, hasil pun mesti naik, itu baru adil,” katanya.
Menurutnya, LPP menyeru semua pihak dalam sektor pertanian meningkatkan hasil padi, memperkukuh pengeluaran tanaman, penternakan serta menambah nilai produk agro.
Peningkatan produktiviti, jelasnya, akan memberi kesan langsung kepada pendapatan peladang dan menjadikan sektor tersebut lebih berdaya saing.
Dalam masa sama, Mahfuz mengingatkan bahawa terdapat pihak tertentu yang hanya mengkritik kerajaan tanpa menilai usaha yang telah dilakukan.
“Ada yang hanya tahu menjerit tapi bila bantuan ditambah, mereka pula jadi pakar kira angka,” katanya.








