Ringgit kukuh, reformasi perlembagaan bukti kestabilan Kerajaan Perpaduan – Fahmi

KUALA LUMPUR: Pengukuhan nilai ringgit serta pembentangan pindaan penting terhadap Perlembagaan Persekutuan di Parlimen dilihat sebagai cerminan kestabilan politik dan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan agenda reformasi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata nilai ringgit kini berada pada paras 3.88 berbanding dolar Amerika Syarikat dan 3.07 berbanding dolar Singapura, sekali gus menunjukkan kedudukan ekonomi negara yang semakin kukuh.

“Kita menyaksikan hari ini (Isnin) ringgit mencecah 3.88 berbanding dolar Amerika Syarikat dan 3.07 berbanding dolar Singapura. Ini memberi petanda bahawa ekonomi negara berada di landasan yang tepat,” katanya, seperti dipetik berita tempatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa reformasi utama sedang digerakkan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, termasuk dua pindaan Perlembagaan yang telah dibentangkan di Parlimen. Antara cadangan tersebut ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menurutnya, cadangan pengasingan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan reformasi yang telah lama dibincangkan dan dinantikan pelbagai pihak, termasuk pengamal undang-undang sejak lebih sedekad lalu.

Usaha itu kini direalisasikan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan sokongan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Fahmi yakin perkembangan tersebut menjadi petanda positif bahawa parti-parti dalam kerajaan mampu berganding bahu untuk melaksanakan perancangan yang telah dirangka, dalam tempoh kurang dua tahun berbaki sebelum berakhirnya penggal pentadbiran semasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat