PARLIMEN | Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang dicadangkan kini berada pada peringkat awal di bawah Kementerian Digital dan bertujuan menangani isu akauntabiliti serta etika dalam penggunaan teknologi berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata RUU itu akan melalui proses perundingan menyeluruh termasuk bersama Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memastikan tiada aspek penting yang terlepas pandang.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan amat signifikan kerana ia merupakan pendekatan baharu bukan sahaja bagi Malaysia, malah turut menjadi cabaran kepada banyak negara lain.
“RUU ini akan memperincikan soal pertanggungjawaban dan etika dalam penggunaan AI, melibatkan pemaju, pembangun serta pihak yang melaksanakan atau ‘deploy’ sistem AI.
“Oleh kerana ia pendekatan baharu, kita juga memastikan undang-undang sedia ada terus terpakai dan boleh dikuatkuasakan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rodziah Ismail (PH–Ampang) mengenai bagaimana RUU itu akan menangani isu hak cipta dan harta intelek, memandangkan sistem AI lazimnya dilatih menggunakan bahan berhak cipta seperti teks, imej, audio dan video.
Anwar menyifatkan RUU berkenaan sebagai langkah kritikal dalam mengisi kelompongan rangka kerja tadbir urus AI yang sebelum ini belum diwujudkan secara menyeluruh.
Katanya, sesi libat urus akan diadakan bagi memastikan semua isu yang berkaitan dapat dimasukkan, termasuk melibatkan aspek input yang digunakan untuk melatih sistem AI dan output yang dijana daripadanya.
Beliau menegaskan bahawa perkara berkaitan hak cipta sudah termaktub dalam Akta Hak Cipta 1987 dan perlu dikuatkuasakan secara berkesan, selain mengarahkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mempertingkat pemantauan.
Selain itu, RUU berkenaan turut merangkumi mekanisme pelaporan insiden dan kemudaratan akibat penggunaan teknologi digital dan AI, termasuk risiko yang timbul terhadap hak warga serta implikasi sekiranya aspek etika diabaikan.
Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan bahawa pendekatan Malaysia berbeza daripada amalan di Barat yang lebih menumpukan perincian perundangan semata-mata, sebaliknya negara ini turut memberi penekanan kepada nilai akhlak dan moral dalam penggubalan dasar berkaitan AI.
Baca juga:








