PARLIMEN | Pengukuhan ringgit sejak kebelakangan ini mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang mantap serta persekitaran global yang semakin bertambah baik.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, nilai ringgit meningkat 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, sekali gus mencatat kenaikan tertinggi dalam kalangan negara serantau.
Beliau berkata, ringgit turut mengukuh antara 1.5 hingga 13.9 peratus berbanding mata wang utama dan serantau lain.
“Apabila mengambil kira purata berwajaran mata wang rakan dagang utama seperti dolar Singapura, renminbi China dan dolar AS, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit meningkat sebanyak 6.1 peratus dalam tempoh sama,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, pada Rabu.
Menurut beliau, NEER memberi gambaran lebih menyeluruh terhadap prestasi dan nilai sebenar ringgit berbanding kadar pertukaran dua hala seperti dolar AS/ringgit.
Setakat semalam, ringgit terus menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan 4.09 peratus kepada RM3.89 berbanding dolar AS.
Mengulas faktor luaran, Amir Hamzah berkata, penurunan kadar faedah di AS serta jangkaan persekitaran kadar faedah lebih rendah dalam ekonomi utama dunia menyokong pengukuhan mata wang tempatan.
Selain itu katanya, sentimen pelabur yang positif, pertumbuhan perdagangan global serta aliran masuk pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan turut memperkukuh kedudukan ringgit.
Beliau berkata, komitmen kerajaan melaksanakan reformasi struktur dan memastikan kedudukan fiskal mampan juga meningkatkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus menyokong prestasi ringgit dalam jangka sederhana.
Menjawab soalan tambahan, beliau berkata, pengukuhan ringgit tidak menjejaskan prestasi perdagangan negara apabila eksport kasar Malaysia terus berkembang 6.5 peratus tahun lalu, didorong terutamanya oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang kekal kukuh.
“Daya saing eksport Malaysia bukan bergantung kepada kadar tukaran semata-mata, sebaliknya disokong keupayaan pengeluaran yang mantap serta integrasi kukuh dalam rantaian bekalan global,” katanya.








