Dividen Simpan SSPN 2025 Cecah 4.10 Peratus, Tertinggi Dalam 11 Tahun

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2025 sebanyak 4.10 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 11 tahun.

Jumlah agihan keuntungan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM505.68 juta, meningkat berbanding RM439.87 juta pada tahun sebelumnya, sekali gus memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, peningkatan kadar dividen ini mencerminkan kecekapan pengurusan dana Simpan SSPN sejak diperkenalkan pada tahun 2004, berteraskan tadbir urus yang baik, integriti serta strategi pelaburan yang berkesan.

Menurut beliau, kadar dividen 4.10 peratus itu juga lebih tinggi berbanding 4.05 peratus yang diumumkan bagi tahun 2024.

“Sepanjang tahun lalu, Simpan SSPN merekodkan jumlah deposit sebanyak RM3.33 bilion, meningkat RM154.10 juta atau 4.86 peratus berbanding RM3.17 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan PTPTN pada Rabu.

Tambahnya, lebih 500,000 akaun baharu telah dibuka sepanjang tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan deposit terkumpul setakat 31 Disember mencecah RM23.88 bilion.

“Pencapaian ini membuktikan keyakinan dan sokongan berterusan pendeposit terhadap Simpan SSPN, selain menunjukkan prestasi pengurusan dana yang mampan dan kompetitif,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pencapaian tersebut mendapat sokongan penuh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, sebagai tanda kepercayaan terhadap keupayaan pengurusan dana PTPTN.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat