DOSM: Pulau Pinang kekal peneraju eksport negara, sumbang hampir 47 peratus

KUALA LUMPUR: Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama negara dengan menyumbang 46.7 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia pada Mac 2026, menurut laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah perdagangan Malaysia pada Mac 2026 mencecah RM273.0 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM148.8 bilion dan import RM124.2 bilion.

Beliau berkata, eksport negara mencatatkan peningkatan sebanyak RM11.4 bilion atau 8.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong terutamanya oleh peningkatan eksport di Pulau Pinang.

“Peningkatan eksport dipengaruhi oleh prestasi lebih tinggi di beberapa negeri khususnya Pulau Pinang yang mencatat kenaikan ketara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain Pulau Pinang, Johor dan Selangor masing-masing menyumbang 17.6 peratus dan 14.3 peratus kepada jumlah eksport negara, diikuti Sarawak (5.9 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.8 peratus).

Bagaimanapun, beberapa negeri mencatatkan penurunan eksport termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang dan Sarawak.

Mengulas prestasi import, Mohd Uzir berkata nilai import meningkat RM11.7 bilion atau 10.4 peratus kepada RM124.2 bilion berbanding Mac tahun lalu.

“Peningkatan import disumbangkan oleh kebanyakan negeri dengan Pulau Pinang mencatatkan pertambahan terbesar, diikuti Selangor dan Johor,” katanya.

Pulau Pinang turut mendominasi import negara dengan sumbangan 28.1 peratus, diikuti Selangor (24.8 peratus), Johor (22.0 peratus), Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (5.6 peratus).

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) sedang dijalankan bermula 5 Januari hingga 31 Oktober ini bagi mengumpul data komprehensif berkaitan prestasi dan struktur ekonomi negara.

“Banci ini penting bagi menyediakan data berasaskan bukti untuk menyokong perancangan dan dasar ekonomi negara,” katanya.

Malaysia turut mencatat pencapaian apabila menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, sekali gus menunjukkan kemajuan dalam pengurusan data terbuka negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat