KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara Malaysia mendedahkan sehingga 30 Jun 2025, baki geran penyelidikan berjumlah RM183.11 juta di empat kementerian masih belum dipulangkan, membabitkan 7,904 projek.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 (LKAN) yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kementerian terlibat ialah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM).
Audit mendapati baki geran yang tidak dipulangkan itu mencerminkan kelemahan dalam kawalan kewangan, pemantauan projek serta tatacara penutupan projek, selain menunjukkan dana penyelidikan tidak dimanfaatkan secara optimum bagi mencapai impak ditetapkan.
KPT merekodkan jumlah tertinggi iaitu RM110.67 juta melibatkan 7,823 projek di lima universiti penyelidikan — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).
Sementara itu, dua agensi pelaksana di bawah MITI mencatat baki RM55.64 juta, diikuti MOSTI sebanyak RM14.33 juta dan KPKM berjumlah RM2.47 juta.
Analisis audit turut menunjukkan RM9.72 juta atau 5.3 peratus daripada baki itu melebihi tempoh 10 tahun, manakala RM89.82 juta atau 49 peratus melibatkan tempoh antara lima hingga sembilan tahun.
Laporan berkenaan turut memberi amaran bahawa baki geran yang tidak dipantau berisiko digunakan bagi tujuan selain daripada kelulusan asal.
Bagi MITI, baki RM55.64 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 melibatkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), dengan audit mendapati sebahagian baki peruntukan digunakan untuk membiayai projek baharu Rancangan Malaysia Ke-12 tanpa kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Ekonomi Malaysia.
Baca juga:








