PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Ahad mengumumkan beberapa keputusan penting hasil mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuk tindakan terhadap dua tokoh parti serta perkembangan keanggotaan baharu.
Dalam kenyataan rasmi, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh memaklumkan bahawa MPP telah memutuskan untuk menggantung semua jawatan parti yang disandang oleh Fahmi Zainol, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sehingga kes mahkamah beliau selesai.
“MPP telah memutuskan bahawa Fahmi Zainol digantung segala jawatan parti sehingga kes mahkamah beliau diputuskan, berkuat kuasa serta merta,” kata kenyataan itu.
Berhubung kedudukan Fahmi dalam kerajaan negeri, Setiausaha Agung akan mengutuskan surat rasmi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dalam masa terdekat.
Mesyuarat turut membincangkan isu surat tunjuk sebab kepada Datuk Seri Rafizi Ramli.
Parti mengambil maklum jawapan beliau dan menegaskan bahawa beliau masih kekal sebagai anggota PKR.
“Parti mengingatkan beliau (Rafizi) agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tata etika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti,” jelas kenyataan itu.
MPP turut dimaklumkan bahawa Perdana Menteri akan membawa satu usul tergempar di Dewan Rakyat pada Isnin bagi mengecam serangan kejam Israel dan sekutunya terhadap Iran.
Tambah Fuziah, PKR turut menerima 14,225 anggota baharu antara Oktober 2025 hingga Januari 2026.
Antara yang menyertai ialah Dr Sani Araby Salim Araby, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) serta Hidayat Abdullah, Pengurus Strategik MAPIM.
Selain itu, MPP turut mengumumkan pelantikan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai ahli ex officio MPP serta Muhd Haris Mohd Ismail (PU Haris) sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama.








