Kes Foto Pijak Al-Quran Dalam Siasatan Rapi – Polis Pahang

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen penuh dalam menyiasat kes penularan foto seorang lelaki tempatan yang memijak al-Quran di media sosial, satu insiden yang mencetuskan kebimbangan masyarakat dan sensitiviti agama.

Ketua Polis Pahang, CP Datuk Seri Yahaya Othman, dalam kenyataan rasmi berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah tiga peruntukan undang-undang utama iaitu Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Setakat ini katanya, sebanyak 62 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berkaitan isu tersebut, manakala 43 orang saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan ketenteraman awam serta sensitiviti agama,” tegas beliau.

Kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 2 Mac 2026 untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut, selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam masa sama, pihak polis menekankan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, profesional dan adil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian serta keamanan negara.

Anda Mungkin Berminat