Ernie Zakri & Syamel Lancar ‘Suasana Raya’ di Hong Kong

Oleh: Aliyaa Azmi

MENJELANG sambutan Aidilfitri, dua nama besar industri muzik tanah air, Ernie Zakri dan Syamel kembali bergabung menerusi single raya terbaharu berjudul Suasana Raya.

Istimewanya, lagu berkenaan merupakan kolaborasi bersama Hong Kong Tourism Board yang turut menyaksikan penggambaran video muzik dijalankan di beberapa lokasi menarik serta destinasi mesra Muslim sekitar Hong Kong.

Mengangkat gabungan melodi klasik raya dan elemen moden, Suasana Raya mengetengahkan lirik menyentuh jiwa serta keserasian vokal pasangan suami isteri itu dalam menggambarkan ketenangan pagi Syawal, kesyukuran dan momen kebersamaan keluarga.

Menurut Ernie, pemilihan Hong Kong sebagai lokasi penggambaran amat bertepatan dengan konsep lagu yang meraikan tradisi dalam nuansa kontemporari.

“Hong Kong sangat sesuai kerana ia Muslim-friendly dan memudahkan kami mencari pelbagai pilihan makanan halal, antaranya di Islamic Centre Canteen.

“Kami juga berpeluang melawat tempat ibadah seperti Kowloon Mosque.Selain itu, terdapat banyak tarikan mesra keluarga seperti Ocean Park Hong Kong.

“Ia satu pengalaman bermakna apabila kami dapat menjalani penggambaran sambil meluangkan masa bersama keluarga di sana,” katanya.

Syamel pula menjelaskan suasana bandar Hong Kong yang ‘vibrant’ dan dinamik memberi inspirasi kepada konsep visual video muzik berkenaan.

“Suasana di Hong Kong sangat meriah dan penuh warna. Kami mahu peminat merasai vibe yang sama melalui Suasana Raya. Elemen visual moden itu selari dengan lagu ini yang menggabungkan rasa tradisional dan kontemporari,” katanya.

Sebagai menghargai sokongan peminat, pasangan itu turut menganjurkan sesi tontonan awal video muzik berkenaan di Aurum Theatre pada 17 Februari lalu.

Hampir 100 peminat terpilih hadir menyaksikan tayangan eksklusif sebelum pelancaran rasmi, malah berpeluang mempelajari koreografi yang ditampilkan bersama Ernie dan Syamel.

Berkongsi perasaannya, Ernie menyifatkan sesi itu sebagai momen istimewa.

“Dapat kongsi momen macam ini dengan peminat memang sangat bermakna. Kami harap mereka suka video muzik ini dan semua yang dengar Suasana Raya akan menikmati lagu serta visualnya. Harap lagu ini beri kenangan manis dan good vibe untuk semua,” ujarnya.

Dikenali dengan lagu balada penuh emosi, Ernie mengakui proses rakaman kali ini lebih santai dan menyeronokkan.

Bagi Syamel, kekuatan utama Suasana Raya terletak pada melodinya yang catchy dan dekat dengan kemeriahan perayaan.

“Ia lagu yang sesuai didengarkan ketika meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Sepanjang rakaman, kami sentiasa menyanyi dalam keadaan tersenyum supaya kegembiraan itu benar-benar sampai kepada pendengar,” ujarnya lagi.

Suasana Raya yang ditulis, digubah dan diterbitkan oleh Adam Armin dan Yusuff Khan kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat