Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri gagal diluluskan di Dewan Rakyat selepas kekurangan hanya dua undi untuk mencapai majoriti dua pertiga.
Kegagalan itu disifatkan oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai bukti jelas pembangkang ingkar terhadap seruan reformasi negara.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, usul tersebut sepatutnya menjadi titik penting dalam usaha memperkukuh institusi negara.
Beliau berkata, cadangan itu bukan agenda politik kepartian, sebaliknya sebahagian daripada reformasi institusi yang telah dizahirkan sebagai keperluan negara termasuk dalam titah rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa pembukaan Parlimen.
“Apabila usaha yang selari dengan titah diraja dan aspirasi reformasi negara ini gagal hanya kerana dua undi, ia menimbulkan persoalan besar terhadap komitmen sebenar pembangkang dalam menjayakan agenda pembaharuan,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Mahfuz berkata, had tempoh jawatan Perdana Menteri adalah mekanisme penting dalam sistem demokrasi untuk mengelakkan penumpuan kuasa berpanjangan, memastikan peredaran kepimpinan yang sihat serta memperkukuh semak dan imbang.
Beliau turut menyifatkan tindakan menolak usul berkenaan atau tidak hadir ketika pengundian sebagai bercanggah dengan semangat reformasi dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Ahli Parlimen dipilih untuk membuat keputusan dalam detik penting negara.
“Apabila reformasi institusi yang menjadi tuntutan rakyat dan selari dengan seruan negara tidak disokong, ia memperlihatkan kegagalan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit,” katanya.
Tambah Mahfuz, sejarah akan mencatat bahawa negara hampir melangkah ke hadapan dalam memperkukuh institusi, namun usaha itu terhalang akibat sikap yang tidak seiring dengan aspirasi pembaharuan.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, perjuangan reformasi tidak akan terhenti, sambil menekankan bahawa had kuasa adalah prinsip asas dalam memastikan sistem demokrasi terus terpelihara dan tidak disalah guna.








