Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai pemimpin yang begitu obses dengan jawatan sehingga menjadi penghalang utama penyatuan seluruh parti-parti Melayu.
Perkara itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Muhyiddin Yassin seolah-olah tidak berminat terhadap permuafakatan dengan parti-parti besar di Malaysia.
“Dan nampaknya hari ini obsesi Muhyiddin ialah jawatan. Dia marah apabila ada orang menuduh Hamzah nak diletak sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Kalau betul dia ada maklumat, buktikanlah.
“Yang lebih menarik, kita semua tahu mengenai usaha untuk mencalonkan Muhyiddin kembali sebagai Perdana Menteri. Kalau jawatan itu untuk dia, hukumnya boleh.
“Tetapi kalau jawatan itu untuk orang lain, salah pula,” katanya menerusi kenyataan media di laman rasmi Facebook beliau pada Khamis.
Dalam pada itu, Wan Saiful turut menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahui dan tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan berkaitan dengan “Bangkok Move”.
“Jika ada yang nak tahu mengenai apa yang didakwa sebagai Bangkok Move, saya tak ada maklumat dan saya tak tahu.
“Tetapi pada pandangan saya, kita perlu bertemu sesiapa sahaja yang sudi untuk membincangkan mengenai penyatuan politik Melayu,” ujarnya.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu turut berpandangan pendekatan yang sewajarnya adalah dengan mengusahakan perpaduan dalam kalangan parti besar Melayu di mana-mana peringkat dan bertemu seluruh pihak yang bersesuaian.
Tegas beliau, sepanjang tatakelola Muhyiddin ke atas Bersatu turut membuatkan hubungan baik bersama PAS kian merosak seakan sengaja menolak usaha untuk menyatukan parti Melayu.
“Secara umumnya saya merasakan pendekatan kita haruslah mengusahakan perpaduan parti besar Melayu di mana-mana peringkat dan kita perlu bertemu semua pihak yang bersesuaian.
“Tetapi yang menjadi penghalang sebelum ini adalah Tan Sri Muhyiddin kerana dia bersikap seolah-olah tidak berminat terhadap permuafakatan dengan parti-parti besar di Malaysia.
“Malahan, hubungan baik dengan PAS pun dia biar jadi rosak,” katanya.
Baca juga:








