Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) serta semua parti politik digesa menghentikan pertelingkahan sesama sendiri dan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha membangunkan negara serta memperkukuh ekonomi.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, polemik yang berlarutan sejak tiga hingga empat tahun kebelakangan ini tidak melibatkan Kerajaan MADANI, sebaliknya berlaku dalam blok pembangkang PN.
“Kalau kita nak amik macam itu, biarlah ia bergaduh, bercakap sesama mereka tetapi kita bagi peringatan, pandangan daripada sahabat saya AMK Selangor, supaya kita dapat beri tumpuan dan fokus, kita untuk memperkukuh ekonomi dan, membangunkan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berkata bahawa kenyataan berhubung cadangan UMNO bergabung dengan PAS tidak menimbulkan kebimbangan kepada pihaknya.
Menurutnya, PKR sebagai parti yang matang dan berpengalaman dalam politik melihat cadangan tersebut tidak membawa sebarang masalah, memandangkan landskap politik negara sentiasa berubah.
“Tetapi hari ini fokus kita ialah membangunkan negeri dan membangunkan negara, fokus ke arah itu, sampai ke pilihan raya, nanti nak berlawan ke nak bertembung ke, bertembung lah,” ujarnya.
Kamil berkata, keutamaan kini adalah memastikan pembangunan negeri dan negara terus dipacu, manakala pertembungan politik hanya wajar berlaku apabila tiba pilihan raya.








