Bekalan Beras Negara Kekal Terjamin Meski Konflik Asia Barat – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Wisma Tani, bagi menilai perkembangan terkini inisiatif serta isu berkaitan keterjaminan bekalan makanan negara.

Mesyuarat itu turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi kemungkinan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan makanan.

Anwar berkata, beliau dimaklumkan bahawa bekalan makanan utama negara khususnya beras, tidak terjejas kerana negara yang terlibat dalam konflik tersebut bukan pembekal utama kepada Malaysia.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa bekalan makanan utama negara khususnya beras, tidak terjejas memandangkan negara yang terheret dalam konflik yang dicetuskan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat itu tidak memainkan peranan besar dalam pembekalan makanan kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, KPKM perlu terus memantau rapat perkembangan bekalan makanan negara dari semasa ke semasa.

“Saya tegaskan bahawa KPKM perlu terus memantau rapat perkembangan bekalan makanan negara dari semasa ke semasa kerana sekuriti makanan adalah perkara yang kritikal dan tidak boleh dikompromi,” katanya.

Selain isu bekalan, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan projek pembangunan sektor pertanian bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk meningkatkan produktiviti.

“Saya juga mengarahkan KPKM memastikan pelaksanaan projek dibuat mengikut jadual yang ditetapkan.

“Ikhtiar ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk import,” katanya.

Selepas mesyuarat, Anwar menunaikan solat Zuhur bersama warga KPKM dan menyatakan penghargaan terhadap komitmen mereka.

“Saya menghargai komitmen warga kementerian dan agensi dalam memastikan keterjaminan makanan negara demi kebajikan rakyat,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat