JOHOR BAHRU: Malaysia kekal sebagai satu-satunya negara di rantau ini yang tidak melaksanakan catuan bekalan bahan api walaupun dunia kini berdepan krisis bekalan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, beberapa negara jiran di Asia Tenggara sudah mula mengambil langkah catuan, malah ada yang terpaksa menutup sehingga 400 stesen minyak akibat kehabisan bekalan.
Menurutnya, Malaysia masih mampu mengekalkan harga bahan api pada kadar rendah hasil subsidi besar yang ditanggung kerajaan.
“RON95 diberikan pada harga antara paling rendah di dunia iaitu RM1.99 seliter. Diesel pula walaupun tinggi, kita turunkan untuk petani, nelayan, bas sekolah dan sektor pengangkutan.
“Di negara jiran, harga RON95 ada yang mencecah RM10.50 seliter, ada RM4 dan RM6, tetapi kita hanya RM1.99,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama warga Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pusat Tingkatan Enam di IPG Kampus Temenggong Ibrahim, di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, kestabilan bekalan itu juga hasil langkah awal kerajaan termasuk penyasaran subsidi serta hubungan diplomatik yang baik dengan Iran yang membolehkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz untuk membawa bahan api.
“Bukan semua negara diberi laluan sedemikian, namun ada pihak yang masih menafikan fakta tanpa usaha menyemak kebenaran,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan turut memperketat kawalan sempadan dengan menambah anggota polis dan penguat kuasa susulan peningkatan kes penyeludupan bahan api.
“Minyak kita terlalu murah menyebabkan aktiviti penyeludupan tinggi, hingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara,” jelas beliau.
Perdana Menteri berkata, taklimat juga telah diberikan kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri termasuk menteri besar dan ketua menteri bagi menyelaras langkah menangani situasi tersebut.
Beliau turut menasihatkan rakyat supaya lebih memahami isu ekonomi dan geopolitik semasa agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat di media sosial.
Dalam perkembangan berkaitan, Australia turut memohon bekalan diesel daripada Malaysia melalui perbincangan bersama Perdana Menteri, Anthony Albanese, ketika lawatan rasmi baru-baru ini.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan Malaysia hanya akan mempertimbangkan eksport sekiranya mempunyai lebihan bekalan, dengan keutamaan kekal diberikan kepada keperluan domestik.
Baca juga:








