Malaysia-Pakistan Sepakat Desak Henti Serangan Di Asia Barat

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif bagi membincangkan perkembangan terkini di Asia Barat serta isu keselamatan serantau.

Dalam perbualan tersebut, kedua-dua pemimpin menyuarakan kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat.

Anwar berkata, tindakan tersebut jelas mencabul prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami (Malaysia dan Pakistan) berkongsi kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat.

“Saya menegaskan bahawa tindakan ini merupakan pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB,” kata Anwar.

Kedua-dua pemimpin turut sepakat bahawa semua pihak perlu segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.

Selain isu Asia Barat, Shehbaz Sharif turut memaklumkan perkembangan mengenai ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan.

Beliau berkongsi pandangan tentang inisiatif yang wajar dilaksanakan bagi merintis jalan damai antara kedua-dua negara jiran itu.

Anwar dalam responsnya menekankan kepentingan menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, sambil menegaskan bahawa Malaysia menggesa agar ketegangan tersebut ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik.

“Saya menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

“Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik,” ujar beliau.

Anda Mungkin Berminat