TAWAU:Polis menahan lapan lelaki, termasuk seorang warga asing, dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Bazar Ramadan Sabindo petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, individu yang ditahan berusia antara 17 hingga 34 tahun dan ditahan di beberapa lokasi di Tawau selepas laporan diterima pada 8.37 malam.
“Polis turut merampas sebuah rantai motosikal yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku akibat rasa tidak puas hati antara dua kumpulan berkenaan, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar.
Kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Semalam, dua video tular menunjukkan pergaduhan berdurasi 17 dan 20 saat di tapak bazar berkenaan, yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan warganet.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengulangi perbuatan sedemikian, lebih-lebih lagi di kawasan kunjungan keluarga dan dalam suasana Ramadan yang mulia.








