Al-Quran Sebagai Kompas Tadbir Urus Negara – Dr Dzulkefly

PETALING JAYA: Program Multaqa Pencinta Al-Quran anjuran Akademi Kepimpinan Darulaman (AKAD) pada Sabtu menyaksikan kehadiran sekitar 300 peserta yang bersama-sama menekuni peranan Al-Quran sebagai panduan hidup dan kepimpinan.

Majlis yang penuh barakah itu turut dihadiri oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang menyampaikan ucapan penuh makna mengenai tadbir urus berlandaskan wahyu.

Dalam ucapannya, Dr Dzulkefly menekankan bahawa Al-Quran adalah asas segala ilmu dan kompas utama dalam kehidupan seorang insan.

“Ilmu pertama yang diajar oleh Allah SWT adalah Al-Quran yang bersifat tawqifiyah atau tetap.

“Namun, kita juga dikurniakan Ilmu Al-Bayan yang bersifat taufiqiyah, iaitu ilmu yang menuntut kita untuk terus mencari, menggali dan memadankannya dengan petunjuk wahyu agar setiap langkah hidup dan kepimpinan kita sentiasa berada di bawah naungan hidayah-Nya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebagai Menteri Kesihatan, beliau melihat amanah yang dipikul melalui lensa Maqasid Syariah.

Menurut beliau, tanggungjawab menjaga nyawa daripada ancaman penyakit, memelihara akal daripada krisis kesihatan mental serta melindungi keturunan daripada isu ‘stunting’ dan malnutrisi menjadi keutamaan.

Kesemua itu, katanya, diperkukuh dengan pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Dr Dzulkefly turut berkata, kementerian kini giat menangani cabaran penyakit yang semakin kompleks, krisis kesihatan mental serta beban berganda malnutrisi yang menuntut penyelesaian tuntas agar kualiti hidup masyarakat terus terpelihara mengikut tuntutan agama.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni membina kepimpinan, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada pihak AKAD.

“Semoga sumbangan ini dapat membantu untuk terus memugar ilmu dan melahirkan generasi pemimpin yang bukan sahaja bijak pandai, malah memiliki jiwa yang dekat dengan Al-Quran,” katanya.

Dr Dzulkefly mengingatkan bahawa tadbir urus negara yang berlandaskan Al-Quran akan memastikan kesejahteraan rakyat terjamin, selari dengan tuntutan agama dan nilai kemanusiaan.

Anda Mungkin Berminat