KUALA LUMPUR: Kerajaan tetap berwaspada terhadap implikasi domestik susulan kenaikan harga tenaga, khususnya dari segi kos sara hidup rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi impak ekonomi susulan konflik di Timur Tengah
Menurutnya, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga turut menjadi penampan kepada ketidaktentuan pasaran minyak global, walaupun perkembangan geopolitik berpotensi menyebabkan lonjakan harga minyak mentah.
“Secara asasnya, penting untuk mengakui bahawa Malaysia adalah pengeksport bersih tenaga. Dengan kedudukan ini, kita mempunyai beberapa kelebihan yang boleh membantu negara mengharungi cabaran berkenaan,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Isnin.
Menurut beliau, kerajaan telah mengambil langkah mengurus potensi impak tersebut melalui pelaksanaan subsidi bersasar sejak dua tahun lalu, sekali gus membolehkan peningkatan kos berkaitan diserap secara berperingkat oleh sistem sambil memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.
“Sejak dua tahun lalu, banyak usaha telah dilakukan bagi melaksanakan reformasi subsidi. Melalui pendekatan ini, kita dapat memindahkan sebahagian kos kepada sistem secara berperingkat dan pada masa sama mengurus kesannya terhadap kedudukan fiskal kerajaan dengan lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan bekalan bahan api di negara ini, khususnya gas dan petrol.
Menurutnya, Malaysia terus menikmati bekalan gas yang stabil selaras dengan kedudukannya sebagai pengeluar dan pengeksport, selain memiliki kapasiti mencukupi untuk menyokong penggunaan domestik melalui rangkaian saluran paip utiliti serta keperluan industri.
Beliau berkata bekalan petrol dalam negara juga berada pada tahap mencukupi dengan paras simpanan semasa yang memadai.
“Sebagai pengeluar dan pengeksport bersih, kita mempunyai bekalan yang baik dan stabil untuk pengguna utiliti serta sektor industri.
“Kita juga menghasilkan bahan api sendiri dalam negara dan ini memberikan sedikit keanjalan kepada kita untuk menghadapi situasi semasa,” katanya.
Dalam usaha melindungi pengguna daripada ketidaktentuan harga, kerajaan turut memutuskan untuk mengekalkan harga subsidi petrol RON95 bagi tempoh dua bulan akan datang.
Menurut Amir Hamzah, langkah itu bertujuan melindungi rakyat daripada kejutan kenaikan harga sementara kerajaan terus memantau perkembangan konflik di Timur Tengah.
“Harga akan disalurkan melalui sistem, namun kerana kita mempunyai kapasiti untuk mengurusnya, kesan terhadap rakyat dapat ditangani dengan cara ini,” katanya.
Beliau menambah, daya tahan ekonomi negara turut disokong oleh momentum pertumbuhan kukuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada tahun lalu.
Baca juga:








