PM bakal umum berita baik untuk rakyat menjelang Aidilfitri

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan beberapa lagi berita baik untuk rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri Malaysia hari ini.

Menurut beliau, pengumuman itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI bagi membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup.

“Insya-Allah, Perdana Menteri juga akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya pada Isnin.

Terdahulu, Anwar mengumumkan beberapa langkah intervensi segera bagi meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan menyambut Syawal.

Antaranya termasuk pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula esok serta penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran.

Turut diumumkan ialah peluasan Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara dan perluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa bagi membantu golongan pelajar.

Dalam taklimat sama, beliau berkata kerajaan juga sedang memantau rapi perkembangan konflik di Asia Barat termasuk operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon berisiko yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perdana Menteri menegaskan bahawa nyawa rakyat Malaysia diutamakan dalam apa jua keadaan, terutama dalam situasi kritikal yang tidak menentu,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat