3 keutamaan negara saat konflik Asia Barat – Menteri Ekonomi

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani memberi jaminan bahawa bekalan minyak petroleum negara kekal stabil walaupun ketegangan geopolitik di Asia Barat semakin memuncak susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Kerajaan Madani telah mengadakan pertemuan bersama beberapa agensi utama termasuk Petroliam Nasional Berhad, Bank Negara Malaysia, Wisma Putra, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Kewangan Malaysia bagi menilai kesan perkembangan geopolitik terhadap ekonomi dan bekalan tenaga negara.

Menurut beliau, pemantauan rapi dilakukan khususnya terhadap isu bekalan petrol yang kini menjadi kebimbangan di beberapa negara lain.

Akmal Nasrullah berkata setakat ini Kerajaan Madani tidak menerima sebarang petunjuk bahawa konflik di Asia Barat akan mengganggu bekalan tenaga domestik.

“Buat masa ini, tiada petunjuk mengenai sebarang gangguan terhadap bekalan tenaga domestik negara.

“Maknanya, bekalan minyak untuk kegunaan semua peringkat termasuk industri dan pengangkutan adalah mencukupi,” katanya.

Ujar Akmal, Malaysia berada dalam kedudukan yang relatif kukuh kerana negara ini merupakan pengeksport bersih tenaga atau net exporter.

“Ini disebabkan tiada konflik ekonomi secara semula jadi yang menjejaskan bekalan kita. Malaysia merupakan net exporter tenaga.

“Secara tidak langsung, Malaysia berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding banyak negara lain untuk menyerap impak sekiranya berlaku gangguan bekalan atau kenaikan harga minyak dunia,” jelasnya.

Pada masa sama, Kerajaan Madani turut menegaskan situasi semasa tetap dipantau dengan teliti memandangkan ketidaktentuan geopolitik global.

“Walau bagaimanapun, kerajaan sentiasa berwaspada dengan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

“Semuanya bergantung kepada tempoh pergolakan yang berlaku, pergerakan harga minyak dunia yang dipantau setiap jam serta keadaan geopolitik global yang lebih meluas,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai langkah kerajaan dalam menghadapi situasi semasa, Akmal berkata terdapat tiga keutamaan utama negara yang sedang diberi perhatian.

“Apa pun, keutamaan segera kita sekarang adalah untuk mengekalkan kestabilan ekonomi, mengekalkan keyakinan pelabur serta melindungi kesejahteraan rakyat dan juga perniagaan,” katanya.

Sebelum ini, meda melaporkan keterjaminan bekalan produk petroleum negara ketika ini mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga Mei depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun ketegangan di Asia Barat masih berterusan, ia menunjukkan keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat