Kerajaan umum cuti tambahan sempena Aidilfitri

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani mengumumkan khabar berita buat rakyat apabila memberi cuti tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut berkata, pengumuman penuh makna itu demi mengiktiraf usaha keras rakyat Malaysia sepanjang bulan Ramadan.

“Jangan bimbang, kerana kita berikan cuti tambahan untuk Hari Raya. Kita beri cuti kerana kita anggap semua orang sudah bekerja keras.

“Dalam bulan Ramadan ini, semua orang memberi masa, dedikasi dan usaha yang lebih. Jadi, kita akan hadiahkan seluruh rakyat dengan cuti tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026, di Suria Sabah, Kota Kinabalu pada Ahad.

Perdana Menteri menjelaskan, sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, 20 Mac, cuti umum tambahan akan diberikan pada hari Isnin, 23 Mac.

“Sekiranya ia jatuh pada hari Sabtu, 21 Mac, maka cuti tambahan itu akan diberikan pada hari Jumaat,” katanya.

Anwar berkata, sama ada Aidilfitri disambut pada hari Jumaat atau Sabtu, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kerajaan akan tetap menyediakan cuti tambahan sempena perayaan tersebut.

“Kami mengumumkan perkara ini lebih awal supaya orang ramai dapat merancang cuti Aidilfitri mereka,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat