NIAT nak berbuka dengan menu padu, tapi lain pula jadinya bila beberapa orang mendakwa mengalami simptom seperti demam, cirit-birit dan muntah selepas makan nasi kandar di satu restoran mamak terkenal.
Perkongsian daripada pengguna Threads, @kleoxrith, menarik perhatian ramai apabila dia meluahkan, “Wahai kedai nasi kandar, kami semua kecundang demam, cirit dan muntah.”
Tak sangka, ruangan komen terus dipenuhi dengan pengalaman serupa.
Ada yang berkongsi bahawa mereka sudah beberapa kali mencuba berbuka dengan nasi kandar di tempat berbeza, namun hasilnya tetap sama.
“Dah tiga kali ‘experiment’ berbuka dengan nasi kandar, tiga kali juga kena… terus serik,” kata seorang pengguna @aidil.saleh.
Dalam pada itu, ada juga yang menganggap perkara ini serius dan menggesa agar tindakan lanjut diambil sekiranya melibatkan ramai individu.
“Kalau ramai kena, lebih baik membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ini dah keracunan makanan,” tulis seorang netizen lagi.
Lebih mengejutkan, seorang lagi pengguna @Shafyb berkongsi pengalaman kurang menyenangkan ketika mengunjungi kedai sama sebelum ini.
Dakwanya, dia menemui bendasing dalam minuman selain makanan yang tidak mencapai kualiti sepatutnya. Walaupun pihak kedai bertindak memohon maaf dan memberi bayaran balik, pengalaman itu cukup membuatkan dia serik.
“Dalam hati memang dah kata, ini kali terakhir saya ke restoran tu dan tak mahu lagi.…” kongsinya.
Perkongsian ini buat ramai mula tertanya-tanya kebetulan atau memang ada isu sebenar?
Baca juga:








