PN cuma tinggal nama, yang ada parti PAS sepenuhnya – DAP

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Gabungan Perikatan Nasional (PN) yang seperti biasanya dilihat sebagai gabungan politik berbilang parti kini semakin jelas telah didominasi oleh PAS.

Perkara itu dilontarkan oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong apabila hampir keseluruhan jawatan utama dalam struktur organisasi PN hampir semua jawatan utama diisi oleh PAS.

“Dalam struktur PN yang diumumkan baru-baru ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri (PAS), Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS), Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa (PAS), Bendahari PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Malahan, Ketua Pembangkang Parlimen juga bakal dipegang oleh Ahli Parlimen PAS, dengan kata lain, dalam kepimpinan teras PN, banyak jawatan utama kini dikuasai oleh pemimpin PAS,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook DAP pada Selasa.

Poay Tiong berkata, sejarah politik Malaysia menunjukkan bahawa apabila sebuah gabungan yang dikuasai oleh satu parti semestinya akan kehilangan makna asalnya.

Justeru katanya, sekiranya hanya satu parti yang menguasai jawatan mahupun keputusan yang penting maka gabungan itu tidak lagi berfungsi sebagai medium yang mewakili kepelbagaian suara dan pandangan.

“Jika trend ini berterusan, rakyat Malaysia akan melihat realiti yang mudah dan jelas.

“Perikatan Nasional” mungkin hanya tinggal nama sahaja, sedangkan realiti politiknya sudah menjadi “PAS Nasional,” ujarnya.

Tegas beliau, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya.

Oleh itu katanya, mana-mana gabungan politik yang ingin menjadi pilihan pemerintahan negara mesti mencerminkan kepelbagaian yang ada dan bukannya dikawal oleh satu ideologi tunggal.

Kata beliau lagi, jika tidak gabungan seperti PN itu akhirnya bukan sahaja kehilangan maksudnya sebagai gabungan, malah ianya juga akan kehilangan kepercayaan rakyat.

“Sebuah gabungan yang hanya tinggal nama, tanpa kepelbagaian, hanya tinggal struktur, tanpa roh, hanya tinggal kuasa, tanpa keseimbangan, maka ini gabungan bukan lagi gabungan, tetapi hanya kosmetik politik.

“Apabila sebuah gabungan dikuasai sepenuhnya oleh satu parti, gabungan itu tidak wujud lagi, ia hanya tinggal nama sahaja,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, ​menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, Sabtu lalu terdapat rombakan parti PN telah dibuat selaras dengan Fasal 8.2 dan Fasal 8.3 Perlembagaan Parti.

​Ahmad Samsuri dalam kenyataan media memaklumkan, mesyuarat tersebut dihadiri oleh kesemua kepimpinan tertinggi daripada parti anggota iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

​Berdasarkan senarai lantikan terbaru, beliau kekal menerajui gabungan itu sebagai Pengerusi, manakala jawatan Timbalan Pengerusi kini diisi oleh empat tokoh utama iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, P Punithan dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat