KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Bahagian Penguatkuasa Putrajaya berjaya menyerbu sebuah premis di Kuala Lumpur yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan jam tangan berjenama tiruan.
Dalam kenyataan media pada Rabu, Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan itu dilaksanakan pada 13 Mac 2026 di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815), hasil risikan selama hampir sebulan.
“Premis berkenaan dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dan penjualan pelbagai jam tangan berjenama yang disyaki tiruan,” katanya.
Operasi yang turut dijalankan bersama wakil pemilik cap dagang itu menyaksikan sebanyak 790 unit jam tangan pelbagai jenama terkenal disita, selain kotak, beg kertas berjenama dan beberapa barangan lain yang digunakan untuk tujuan penjualan.
“Hasil pemeriksaan telah menyita sebanyak 790 unit jam tangan pelbagai jenama terkenal yang disyaki tiruan.
“Turut disita adalah pelbagai kotak dan beg kertas berjenama serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan penjualan produk tersebut,” jelas Azman.
Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM790,600.
Siasatan awal mendapati kegiatan itu dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang bertindak sebagai pengurus premis.
“Suspek yang berumur 30-an ini dipercayai orang yang bertanggungjawab dalam keseluruhan operasi termasuk pengurusan premis, stok barangan dan aktiviti penjualan,” katanya.
Premis dua tingkat itu dikendalikan secara tertutup, di mana tingkat bawah dijadikan bengkel pembaikan dan servis jam tangan, manakala tingkat atas digunakan untuk menyimpan serta menjual jam tangan tiruan.
KPDN turut mendedahkan premis tersebut dikawal rapi dengan pintu kaca berkunci yang hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh dari dalam, selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Aktiviti penjualan dipercayai hanya dilakukan kepada pelanggan tertentu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Jam tangan tiruan diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan.
“Suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.
KPDN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penjualan atau pengedaran barangan tiruan kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan hak pemilik cap dagangan serta kepentingan pengguna.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan barangan tiruan atau pelanggaran harta intelek diseru menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, talian 1-800-886-800 serta aplikasi Ez ADU KPDN.








