BUENOS AIRES: Argentina secara rasmi menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengikuti jejak langkah Amerika Syarikat (AS) dan memutuskan hubungan dengan badan kesihatan global itu.
Memetik laporan Al Jazeera, Menteri Luar Negeri, Pablo Quirno, mengesahkan penarikan diri tersebut pada Selasa, menandakan berakhirnya hubungan Argentina dengan organisasi yang selama ini memantau trend kesihatan, menjejak penyakit, mempromosikan akses penjagaan kesihatan serta melatih penyedia perkhidmatan perubatan.
Langkah itu pertama kali diumumkan pada Februari tahun lalu dan sebulan kemudian Quirno berkata, kerajaan pimpinan Presiden sayap kanan Javier Milei telah mengeluarkan notis rasmi kepada WHO.
“Hari ini, penarikan Argentina daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkuat kuasa, menandakan genap setahun sejak notis rasmi dibuat oleh negara kita,” tulis Quirno dalam hantaran di media sosial.
Beliau berkata, Argentina akan terus mempromosikan kerjasama antarabangsa dalam bidang kesihatan melalui perjanjian dua hala dan forum serantau, sambil mengekalkan sepenuhnya kedaulatan serta keupayaan membuat keputusan mengenai dasar kesihatan.
Keputusan Milei itu mencerminkan tindakan serupa oleh sekutu politiknya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang sebelum ini turut mengkritik organisasi antarabangsa kerana didakwa memajukan dasar progresif dalam bidang kesihatan dan perubatan.
Pengumuman Argentina untuk berundur daripada WHO dibuat kira-kira sebulan selepas Trump mengumumkan langkah hampir sama.
Dalam kenyataannya ketika itu, Milei yang berhaluan libertarian mengecam WHO atas nasihat kesihatan semasa pandemik Covid-19.
Langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan vaksinasi menjadi sasaran kritikan berterusan daripada kelompok sayap kanan di seluruh dunia.







