Perdana Menteri Kemboja, Thailand Tegaskan Usaha Ke arah Perdamaian- Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin Kemboja dan Thailand memberi maklum balas positif berhubung perkembangan usaha damai susulan insiden terbaharu di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Anwar berkata perkara itu disampaikan selepas beliau mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai dan terus mematuhi perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

“Mereka memberikan maklum balas positif dan menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis malam.

Anwar berkata Malaysia turut menegaskan pendirian untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, kedua-dua pemimpin merakamkan penghargaan terhadap pendirian Malaysia, bukan sahaja sebagai Pengerusi ASEAN tetapi juga sebagai jiran serantau yang komited terhadap keamanan, selain berharap usaha damai itu terus diperkasa demi kestabilan dan keselamatan rakyat kedua-dua negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat