Oleh: Tyah Helmi
PADANG TERAP: Gelombang haba yang melanda Malaysia kini semakin terasa apabila suhu maksimum mencecah tahap luar biasa sehingga mampu memasak telur tanpa api.
Fenomena itu tular selepas seorang penduduk di Padang Terap, Kedah, bersama anaknya, berjaya melakukan eksperimen ringkas menggunakan kuali berisi minyak tanpa sebarang bahan api.
Rakaman video yang dimuat naik di TikTok oleh Zamira memperlihatkan aksi mereka memasak telur di bawah terik matahari.
Selepas beberapa minit dan sehingga jam lamanya cubaan itu nyata berhasil.
“Eksperimen telur dengan suhu hari ini 38 darjah, Padang Terap, panas,” katanya.
Fenomena itu berlaku ketika Padang Terap mencatatkan Tahap 2 Gelombang Haba dengan suhu harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius berlarutan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Dalam kenyataan pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut memaklumkan bahawa 14 kawasan lain di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga).
Antara kawasan terlibat ialah seluruh Perlis, beberapa daerah di Kedah termasuk Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.
Kawasan lain yang terkesan termasuk Timur Laut Pulau Pinang, Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak, Jerantut di Pahang serta Rembau di Negeri Sembilan.
Gelombang haba ini sekali lagi mengingatkan orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan, mengelakkan aktiviti luar yang berpanjangan serta memastikan bekalan air mencukupi sepanjang tempoh cuaca ekstrem.








