Ramanan dakwa ‘strategi kotor’ untuk suaka, gesa Victor Chin pulang

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan, hari ini mendakwa seorang ahli perniagaan, Victor Chin, menggunakan “strategi kotor” bagi mendapatkan suaka politik di United Kingdom dengan menampilkan dirinya sebagai mangsa.

Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, individu terbabit yang kini berada di luar negara didakwa sengaja mencipta naratif untuk mencemarkan imej Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen parti itu serta Kerajaan MADANI.

Menurut beliau, tuduhan yang dilemparkan termasuk terhadap agensi seperti AMLA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan polis adalah sebahagian daripada usaha untuk menggambarkan dirinya sebagai mangsa.

“Jika tidak melakukan kesalahan, pulanglah ke Malaysia untuk disiasat. Jangan terus berada di luar negara dan membuat tuduhan tidak berasas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, melalui dokumen setebal 40 muka surat, Victor Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Beliau turut mendakwa telah membayar RM9.5 juta kepada Ahli Parlimen berkenaan pada 18 Oktober tahun lalu serta mengancam akan mendedahkan identiti individu itu sekiranya wang tersebut tidak dipulangkan sebelum 30 Mac ini.

Mengulas lanjut, Ramanan mempersoalkan motif di sebalik dakwaan tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia bertujuan menjatuhkan kerajaan.

“Setiap hari cerita berubah-ubah, daripada mendakwa diburu polis, kemudian melibatkan BNM dan kini mengaitkan Ahli Parlimen PKR pula,” katanya.

Beliau turut mengarahkan ahli PKR khususnya di Sungai Buloh membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Ramanan menolak label “mafia korporat” terhadap individu berkenaan, sebaliknya mendakwa beliau sebagai “syaitan korporat” yang tidak berperikemanusiaan.

Katanya, ramai individu didakwa terjejas dan kehilangan simpanan akibat manipulasi saham yang dikaitkan dengan ahli perniagaan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa Victor Chin pulang ke Malaysia untuk menghadapi siasatan dan membersihkan namanya jika benar tidak bersalah.

“Negara ini mempunyai undang-undang. Jangan bersembunyi di luar negara dan membuat tuduhan liar,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat