Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perbezaan parti dan ideologi politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menggadaikan kesetiaan kepada Raja dan negara.
Penegasan itu dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, yang mengingatkan bahawa prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara adalah teras Rukun Negara.
Beliau berkata, ‘Himpunan Daulat Tuanku’ anjuran Pemuda Pas Selangor pada Sabtu ini perlu dilihat sebagai hak semua pihak mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, bukannya medan mencetuskan perpecahan politik.
“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya membawa kepada kompromi terhadap semangat kesetiaan kepada Raja dan negara seperti termaktub dalam Rukun Negara,” katanya.
Saifuddin Shafi berkata, institusi diraja adalah payung penyatuan rakyat yang mesti dihormati tanpa mengira fahaman politik.
“Kita boleh berbeza parti dan ideologi politik, namun dalam soal menjunjung Raja dan mempertahankan keharmonian negeri, semua pihak perlu berdiri atas prinsip yang sama.
“Perbezaan politik tidak bermakna kita menggadaikan kesetiaan kepada Raja dan negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan selagi ia dilakukan secara aman, tertib dan mematuhi undang-undang.
Malah katanya, Pejabat Menteri Besar Selangor di bawah Datuk Seri Amirudin Shari akan menyediakan 1,000 pek makanan dan minuman kepada peserta himpunan sebagai tanda sokongan terhadap budaya demokrasi matang dan aman.
“Dalam suasana politik semasa yang semakin mencabar, rakyat perlu menolak budaya provokasi, penghinaan dan kenyataan melampau yang boleh menjejaskan keharmonian negeri serta menggugat kestabilan masyarakat majmuk di Selangor,” katanya.
Tambah beliau, menjunjung Raja bukan sekadar slogan politik atau retorik bermusim tetapi harus diterjemahkan melalui penghormatan terhadap Perlembagaan, undang-undang serta usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan negeri.
“Institusi Raja-Raja Melayu perlu terus menjadi simbol penyatuan rakyat dan tidak wajar dipolitikkan secara keterlaluan sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat,” tegasnya.
Saifuddin Shafi percaya rakyat Selangor cukup matang untuk membezakan antara perbezaan politik dengan soal kesetiaan kepada institusi diraja.
“Saya percaya majoriti rakyat Selangor cukup matang untuk membezakan antara perbezaan politik dengan soal kesetiaan kepada institusi diraja dan kepentingan negeri,” katanya.








