Subsidi Dilindungi: KPDN Perhebat Ops, Tiada Kompromi Penyelewengan

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan, selain memastikan kestabilan bekalan barang kawalan terus terjamin meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik susulan konflik di Asia Barat.

Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Azman Adam berkata langkah itu selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara serta memenuhi keperluan rakyat.

Menurut beliau, kementerian telah merangka strategi lebih agresif bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan bahan api global yang boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.

Antara langkah utama yang diumumkan ialah penguatkuasaan penuh larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April 2026.

“Langkah ini bertujuan memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Selain itu, bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, KPDN menetapkan kawalan penjualan diesel mengikut kategori kenderaan dengan had 50 liter, 100 liter dan 150 liter bagi setiap transaksi.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan penyalahgunaan diesel bersubsidi yang dijual pada harga RM2.15 seliter daripada dieksploitasi sindiket penyeludupan atau pihak tidak layak.

Dalam aspek penguatkuasaan, seramai 2,400 pegawai KPDN di seluruh negara kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Melalui OPS TIRIS 4.0, KPDN akan memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan serta agensi lain bagi menutup ruang penyelewengan.

“KPDN memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi konflik global ini tidak akan dikompromi.

“Perbuatan menyeleweng subsidi adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan tindakan tegas akan diambil tanpa toleransi,” katanya.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan melalui saluran aduan rasmi KPDN termasuk WhatsApp, portal e-Aduan dan aplikasi Ez ADU bagi membantu membanteras ketirisan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat