Indonesia haramkan kanak-kanak bawah 16 tahun guna media sosial

JAKARTA: Indonesia mula mengharamkan kanak-kanak di bawah 16 tahun memiliki akaun media sosial.

Langkah itu menjadikan Indonesia sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang menguatkuasakan larangan melibatkan platform seperti YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads, X, Bigo Live dan Roblox.

Peraturan yang diluluskan awal bulan ini bertujuan melindungi golongan muda daripada risiko kandungan tidak sesuai seperti pornografi, buli siber, penipuan dalam talian serta ketagihan digital.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Meutya Hafid, berkata pelaksanaan sekatan itu akan dilakukan secara berperingkat sehingga semua platform mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kerajaan telah mengarahkan semua platform digital yang beroperasi di Indonesia untuk segera menyesuaikan produk, ciri dan perkhidmatan mereka dengan peraturan yang berkuat kuasa. Tiada kompromi terhadap pematuhan,” katanya, seperti dipetik South China Morning Post pada Sabtu.

Tegas beliau, setiap entiti perniagaan yang beroperasi di Indonesia turut wajib mematuhi undang-undang negara itu.

Menurut kerajaan Indonesia, peraturan tersebut dijangka memberi kesan kepada kira-kira 70 juta kanak-kanak di negara berpenduduk sekitar 280 juta itu.

Langkah itu menyusuli tindakan Australia tahun lalu yang turut memperkenalkan larangan media sosial untuk golongan remaja sebagai usaha melindungi pengguna muda serta mengawal pengaruh syarikat teknologi besar.

Sementara itu, Malaysia juga melaksanakan had umur 16 tahun pada separuh kedua tahun ini disifatkan sebagai ‘pelindung digital’ yang kritikal demi kesejahteraan generasi muda.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat