GSF 2.0: Israel nampak lebih terdesak kali ini – SNCC

PETALING JAYA: Negara haram Israel tampak lebih terdesak apabila menahan 175 aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata berdasarkan andaian pihaknya, tindakan tersebut bertujuan menghalang pertemuan atau penggabungan kumpulan aktivis yang berada di Turkiye.

“Kepada sesiapa yang merasakan ini adalah pengulangan skrip, bagi kami ini adalah pengulangan pola kejahatan yang dilakukan oleh rejim Israel, cumanya kali ini ia nampak lebih terdesak,” katanya pada sidang media khas SNCC di Wisma MAPIM, Bangi,Selangor pada Jumaat.

Sany Araby berkata, keadaan semasa turut dijangka menjadikan proses pembebasan kesemua aktivis terlibat tidak mudah untuk dilaksanakan.

Beliau turut memaklumkan, SNCC telah berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyatakan pendirian tegas Kerajaan Malaysia termasuk kecaman terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh rejim Israel.

Menurutnya, Perdana Menteri turut memberi komitmen berterusan dan maksimum bagi usaha membebaskan semua aktivis yang ditahan.“SNCC turut dimaklumkan bahawa kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri sedang melaksanakan usaha sedaya upaya bagi menggerakkan saluran diplomatik, termasuk menghubungi konsul kehormat di Greece serta negara-negara sahabat,” katanya.

Setakat ini, SNCC mengesahkan 21 kapal misi GSF 2.0 yang membawa 175 aktivis dan sukarelawan dari seluruh dunia ke Gaza telah ditahan oleh tentera Israel.

Anda Mungkin Berminat