Papagomo Didenda RM4,000 Kes Hasutan YDPA

KUALA LUMPUR: Penulis blog terkenal, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dua tahun lalu.

Hakim Norma Ismail memutuskan hukuman itu selepas mendapati Papagomo, 43, yang juga bekas anggota polis, gagal menimbulkan keraguan munasabah pada peringkat pembelaan.

“Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan hukuman denda RM4,000 dan penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

“Wang jaminan RM15,000 dikembalikan,” katanya dipetik Berita Harian.

Papagomo, yang juga bekas EXCO Pemuda UMNO, pada 2 Mei 2024 mengaku tidak bersalah atas penerbitan kandungan menghasut di Twitter/X berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim.

Perbuatan itu didakwa berlaku pada 29 April 2024 di sebuah kondominium di Bukit Bintang, mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, menegaskan latar belakang Papagomo sebagai bekas anggota polis menjadikan kesalahan itu lebih berat.

“Dia sedar sebab dan akibat perbuatannya sehingga menyebabkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong di media sosial.

“Undang-undang digubal demi menjaga ketenteraman awam dan hantaran yang dibuat adalah menghina Seri Paduka Baginda,” katanya.

Peguam Papagomo, Muhammad Rafique Rashid Ali, memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman denda dengan mengambil kira faktor keluarga.

“Ini kesalahan pertama bagi kes hasutan dan sepanjang perbicaraan, anak guam saya memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Dia tidak mempunyai kesalahan lampau berkaitan hasutan dan kami mohon mahkamah mengambil kira faktor keluarga,” katanya.

Difahamkan, Papagomo adalah bapa kepada lima anak termasuk seorang anak bongsu yang menghidap autisme dan memerlukan kehadiran beliau di rumah.

Pada 24 September 2025, mahkamah memerintahkan Papagomo membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau juga satu-satunya saksi pada peringkat pembelaan.

Selepas keputusan diumumkan, Muhammad Rafique memaklumkan pihaknya bercadang memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut.

Anda Mungkin Berminat