PETALING JAYA: Malaysia kini melangkah tegas dalam usaha melindungi alam sekitar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengumumkan pewartaan larangan mutlak terhadap pengimportan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, larangan tersebut berkuat kuasa serta-merta melalui Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026], di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, selaras dengan subseksyen 31(1) Akta Kastam 1967 [Akta 235].
Menurut beliau, langkah itu merupakan hasil keputusan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bilangan 2 Tahun 2026, yang menekankan keperluan memperketat kawalan terhadap kemasukan sisa berbahaya.
“JKDM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Ini bagi memastikan larangan terhadap pengimportan buangan terjadual khususnya e-waste, dikuatkuasakan secara tegas dan berkesan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel,” katanya.
Dengan pewartaan itu, Malaysia menegaskan komitmen antarabangsa untuk menangani isu pencemaran global, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai pelindung alam sekitar dan kesihatan awam.








