Profesion Guaman Perlu Bersedia Hadapi Era AI – PM

KUALA LUMPUR: Profesion guaman kini berada di ambang perubahan besar yang menuntut penyesuaian segera terhadap cabaran baharu khususnya kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti model bahasa berskala besar dan keupayaan penaakulan yang semakin canggih, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucaptama beliau di Persidangan Commonwealth Legal Education Association 2026, Anwar menekankan bahawa perkembangan teknologi itu bukan sahaja mengubah landskap perundangan, malah menuntut kesiapsiagaan menyeluruh dari segi kemahiran, kerangka etika serta pendekatan dalam pendidikan undang-undang agar kekal relevan dengan tuntutan zaman.

“Seiring kita melangkah dalam era perubahan yang signifikan ini, persidangan seumpama ini harus dimanfaatkan sebagai wadah wacana yang bermakna dan berwibawa untuk membincangkan bagaimana undang-undang perlu berevolusi demi memastikan ia terus menjunjung prinsip keadilan, keseimbangan dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa kedaulatan undang-undang dalam hubungan antarabangsa semakin terhakis apabila prinsip keadilan kerap diketepikan akibat pengaruh kuasa besar serta amalan penguatkuasaan yang bersifat terpilih.

“Justeru, kedaulatan undang-undang mesti terus dipertahankan sebagai sesuatu yang boleh diakses dan dikuatkuasakan secara sejagat.

“Integritinya adalah asas penting kepada pembinaan sistem antarabangsa yang adil, stabil dan berteraskan peraturan,” tegas Perdana Menteri.

Anda Mungkin Berminat