Penduduk Setiawangsa Terus Dijamin Perhatian, Sokongan Meski Kerusi Kosong

PETALING JAYA: Kekosongan mengejut kerusi Parlimen Setiawangsa oleh Nik Nazmi Nik Ahmad tidak akan menjejaskan kebajikan penduduk kawasan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, memberi jaminan bahawa segala perkhidmatan akan diteruskan seperti biasa di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, saya ingin memberi keyakinan kepada penduduk Setiawangsa bahawa perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau pada Isnin.

Hannah turut mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud untuk memperkukuh peranan Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa bagi menangani isu tempatan serta memastikan aduan penduduk diurus segera.

Menurutnya, penduduk boleh terus mendapatkan khidmat di Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa, D’Wangsa, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Talian rasmi ialah 03-4142 2740 dan emel [email protected].

Manakala waktu operasi pejabat adalah Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 4.30 petang.

Selain itu, Hannah menekankan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha memelihara Bukit Dinding sebagai kawasan hijau penting di ibu kota.

“Saya juga akan bekerjasama dengan semua pihak bagi meneruskan usaha melindungi dan memelihara Bukit Dinding agar ia kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur untuk manfaat penduduk setempat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat