KUALA LUMPUR: Lebih 700 platform berkaitan penipuan dalam talian termasuk laman web, akaun Telegram dan nombor telefon berjaya disekat sepanjang 2024 hingga 2025 hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Dalam tempoh itu, sebanyak 328 laman web, 388 akaun Telegram dan 60 nombor telefon yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti penipuan telah diambil tindakan.
Pencapaian itu susulan kerjasama berterusan antara kedua-dua agensi dalam membanteras penipuan dalam talian serta skim pelaburan palsu yang semakin kompleks.
“Sepanjang 2024 hingga 2025, MCMC bersama SC telah mempertingkatkan usaha penguatkuasaan termasuk menyekat ratusan platform yang digunakan bagi aktiviti penipuan dalam talian,” menurut MCMC pada Jumaat.
Kerjasama berkenaan terus diperkukuh menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi MCMC, Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi SC, Mohammad Faiz Azmi, serta disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.
“Kerjasama strategik ini akan memberi tumpuan kepada perkongsian risikan, penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan serta tindakan pantas bagi menurunkan kandungan penipuan,” menurut kenyataan itu lagi.
Baca juga:








