Mengapa Malaysia Masih Perlu Import Petrol, Diesel?

KUALA LUMPUR: Malaysia sering digambarkan sebagai negara pengeluar minyak yang kukuh, namun hakikatnya pengeluaran tempatan tidak mampu menampung keperluan tenaga yang semakin meningkat.

Walaupun PETRONAS dan syarikat-syarikat lain terus mengekstrak minyak mentah dari telaga dalam negara, Malaysia tetap perlu mengimport minyak mentah serta produk petroleum seperti petrol dan diesel.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kebergantungan terhadap import semakin ketara.

Menurut satu hantaran di Facebook PETRONAS, data rasmi menunjukkan bahawa sejak tahun 2022, nilai import minyak mentah dan produk petroleum telah melebihi eksport.

Fenomena itu mencerminkan penggunaan tenaga domestik yang semakin meningkat, sekali gus menimbulkan persoalan tentang daya tahan bekalan tenaga negara.

Salah satu faktor utama ialah jenis minyak mentah yang dihasilkan.

Hampir 90 peratus kilang penapisan dunia termasuk di Malaysia, direka untuk memproses minyak mentah jenis ‘medium-heavy sour’.

Minyak mentah tempatan pula lebih ringan dan tidak sepenuhnya sesuai dengan keperluan penapisan.

Selain itu katanya, rizab minyak Malaysia semakin berkurangan, menyebabkan jumlah pengeluaran tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan yang terus melonjak.

Menariknya, minyak mentah Malaysia diniagakan pada harga premium berbanding Brent antara USD3 hingga USD11 setong sepanjang dekad lalu.

Walaupun memberi kelebihan dari segi eksport, jurang harga ini tidak mengubah hakikat bahawa Malaysia masih perlu menampung kekurangan bekalan dengan import.

Kebergantungan kepada pasaran luar bermakna Malaysia terdedah kepada turun naik harga global.

Lonjakan harga minyak dunia boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat, subsidi kerajaan dan daya saing industri.

Malaysia kini berada dalam kedudukan unik sebagai pengeluar minyak yang tetap perlu mengimport untuk memenuhi keperluan domestik.

PETRONAS dan kerajaan berdepan cabaran besar untuk menyeimbangkan antara pengeluaran tempatan, import strategik dan usaha peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui.

Anda Mungkin Berminat