PUTRAJAYA: Sebanyak 368,911 kenderaan pengangkutan darat barangan dan awam di seluruh negara telah menerima manfaat subsidi diesel melalui Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sejak pelaksanaannya pada Jun 2024.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan kekal komited meneruskan penyaluran subsidi diesel secara bersasar walaupun berdepan lonjakan harga bahan api susulan krisis tenaga global.
Menurut beliau, sehingga 30 Mac 2026, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti telah diluluskan di bawah SKDS, melibatkan ratusan ribu kenderaan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 93 peratus adalah kenderaan pengangkutan darat barangan manakala tujuh peratus melibatkan pengangkutan darat awam,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Di bawah skim ini katanya, kenderaan yang layak menikmati subsidi diesel pada kadar RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam dan RM2.15 seliter bagi pengangkutan barangan melalui penggunaan kad fleet.
Tambah beliau, sepanjang tahun 2025, kerajaan membelanjakan sebanyak RM3.45 bilion bagi pelaksanaan SKDS termasuk RM3.1 bilion untuk sektor pengangkutan barangan dan RM344.05 juta bagi pengangkutan awam.
Bagaimanapun, Armizan memaklumkan unjuran bagi tahun 2026 menunjukkan peningkatan ketara peruntukan subsidi susulan kenaikan harga diesel global, yang kini mencecah sehingga 158 peratus dalam tempoh singkat.
“Berdasarkan trend semasa, keperluan subsidi di bawah SKDS dianggarkan mencecah RM2.2 bilion sebulan,” katanya.
Beliau turut berkata, kerajaan akan terus memperkukuh pemantauan bagi memastikan pelaksanaan subsidi berjalan telus dan bebas ketirisan.








