Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pendirian berani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang mendesak dunia agar menghentikan semua hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.
Gesaan tersebut disuarakan dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar, sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Israel ke atas Gaza dan negara-negara serantau.
Dalam kenyataan media pada Selasa, Ketua Penerangan Wanita PKR, Datuk Ginie Lim menyifatkan tindakan Perdana Menteri sebagai bukti komitmen Malaysia dalam memperjuangkan keamanan dan kebebasan Palestin.
“Wanita PKR menyokong penuh gesaan kerajaan untuk tindakan yang lebih berat memandangkan Israel semakin agresif seperti serangan yang berlaku ke atas Doha baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata, sejak Oktober 2023, konflik bersenjata Israel ke atas Gaza telah mengakibatkan kemusnahan besar terhadap infrastruktur dan memaksa ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
“Serangan turut merebak ke Lebanon, Syria, Yaman, Iraq, Iran dan terkini Qatar, sekali gus menggugat keselamatan serantau,” katanya.
Menurut Ginie, Perdana Menteri tidak gentar untuk menyuarakan kebenaran di pentas antarabangsa.
“Menghujani bom ke atas ibu negara di sebuah negara yang berdaulat adalah tindakan melanggari undang-undang, biadap dan tidak boleh lagi dipertahankan,” katanya.
Wanita PKR turut menggesa masyarakat antarabangsa agar menegakkan setiap resolusi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menghormati hak penentuan autonomi demi mengekalkan tamadun serta ketenteraman global.
Dalam semangat solidariti kemanusiaan, mereka menyokong penuh misi bantuan ‘Global Sumud Flotilla’ yang digerakkan untuk membantu rakyat Palestin.
“Kami juga menyokong seruan Perdana Menteri kepada pemimpin dunia untuk memastikan ‘Global Sumud Flotilla’ selamat sampai ke destinasi kerana ia adalah misi kemanusiaan.
“Bagi membela yang lemah, melindungi yang tertindas untuk memberi makanan kepada yang kelaparan,” ujarnya lagi.








