Malaysia Ke Era Baharu Semikonduktor, Dari ‘Back-End’ Ke ‘Front-End’

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Malaysia kini memasuki era baharu industri semikonduktor apabila Kerajaan MADANI memperkukuh kedudukan negara dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC design) melalui kerjasama strategik dengan Arm.

Dalam kenyataan media pada Isnin, Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa tiga syarikat tempatan iaitu Great Asic Technology Sdn. Bhd., SkyeChip Bhd. dan Oppstar Technology Sdn. Bhd. telah menerima empat token termasuk Arm CSS (Compute Subsystems) dan Arm Flexible Access (AFA).

Langkah itu membuka akses kepada platform pengkomputeran serta portfolio harta intelek (IP) Arm, sekali gus mempercepat pembangunan produk semikonduktor tempatan yang direka bentuk di Malaysia.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan tradisi dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip.

“Malaysia perlu bergerak lebih jauh daripada ‘back-end’ kepada ‘front-end’ daripada sekadar menghasilkan kepada mereka bentuk, membangunkan IP dan mencipta teknologi sendiri,” katanya.

Kerjasama Malaysia-Arm itu berteraskan tiga fokus utama iaitu melatih 10,000 bakat IC design, memberi akses teknologi pengkomputeran dan portfolio Arm kepada syarikat Malaysia terpilih serta membangunkan produk semikonduktor tempatan yang direka bentuk sepenuhnya di Malaysia.

Akmal berkata, inisiatif itu selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang menekankan pembangunan industri bernilai tambah tinggi termasuk reka bentuk cip, pembungkusan termaju, peralatan semikonduktor dan fabrikasi wafer.

Kementerian Ekonomi turut menegaskan bahawa kejayaan inisiatif itu akan diukur melalui hasil nyata, di mana produk yang boleh dikomersialkan, lebih banyak IP didaftarkan di Malaysia, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta penglibatan lebih ramai bakat tempatan dalam kerja reka bentuk cip bernilai tinggi.

Anda Mungkin Berminat