Boleh beza pandangan, tapi biarlah fakta bukan fitnah – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan Malaysia kekal sebagai net importer minyak sejak 2014, menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa status itu baru berlaku.

Beliau berkata, fakta rasmi yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Siregar, pada 2015 menunjukkan eksport bersih minyak mentah RM7.7 bilion berbanding import bersih produk petroleum RM8.9 bilion, menghasilkan defisit RM1.2 bilion.

“Walaupun negara masih mengeluarkan minyak mentah, kita import lebih banyak produk petroleum daripada yang dieksport. Struktur ini kekal sehingga hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau merujuk laporan Free Malaysia Today yang menyatakan pengeluaran minyak mentah Malaysia sekitar 350,000 tong sehari, manakala keperluan penapisan hampir 700,000 tong sehari. Jurang ini menjadikan Malaysia kekal sebagai net importer.

Tengku Zafrul menekankan dasar kerajaan kini memberi fokus kepada kestabilan harga, kesinambungan bekalan, dan perlindungan rakyat daripada kejutan harga global.

“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi biarlah berasaskan fakta, bukan fitnah,” tambahnya.

Beliau menegaskan isu net importer bukan perkara baharu, tetapi naratif lama yang kini diulang semula oleh sesetengah pihak.

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan terus memantau pasaran minyak global dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan bekalan dan harga kekal stabil.

“Saya menyeru semua pihak menggunakan fakta dan data sebenar sebelum membuat sebarang kenyataan atau tuduhan mengenai pengurusan minyak dan petroleum negara.

“Langkah berasaskan fakta ini penting untuk menjamin kestabilan ekonomi dan melindungi rakyat daripada kejutan harga minyak global,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat