WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa telah bersetuju untuk menangguhkan serangan ketenteraan terhadap Iran selama dua minggu, dengan syarat laluan penting Selat Hormuz dibuka sepenuhnya dan selamat.
Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran media sosial pada Rabu, selepas perbincangan beliau dengan Perdana Menteri Shehbaz Sharif serta Ketua Angkatan Tentera Pakistan, Asim Munir.
Menurut Trump, keputusan berkenaan diambil susulan permintaan pihak Pakistan agar Washington menangguhkan penggunaan kekuatan ketenteraan berskala besar yang sebelum ini dirancang terhadap Iran.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai satu bentuk gencatan senjata dua hala, sambil mendakwa Amerika Syarikat telah mencapai objektif ketenteraan yang ditetapkan.

Dalam masa sama, Trump turut memaklumkan bahawa rundingan ke arah perjanjian damai jangka panjang antara Washington dan Tehran kini berada di peringkat akhir.
Katanya, Iran telah mengemukakan cadangan yang mempunyai asas kukuh untuk dimuktamadkan, selain mendakwa banyak isu pertikaian lama antara kedua-dua pihak telah diselesaikan.
Tempoh dua minggu itu, menurut beliau, diperlukan bagi memuktamadkan perjanjian berkenaan, sekali gus memastikan kestabilan bukan sahaja antara Amerika Syarikat dan Iran, malah di rantau Asia Barat.
Baca juga:








