PUTRAJAYA: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijalankan pada Selasa di Kedah dan Perlis mencatat kejayaan apabila hujan signifikan direkodkan di kedua-dua negeri, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Data daripada stesen cerapan dan sistem MyRAE Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan taburan hujan antara 10 hingga 45 milimeter di Perlis dari pukul 7 hingga 8 malam, manakala 6 hingga 57.4 milimeter di Kedah dari pukul 7 hingga 10 malam.
“Kejayaan ini membuktikan pelaksanaan OPA dalam kondisi atmosfera yang sesuai adalah sangat efektif untuk menangani isu kekurangan air di kawasan tadahan empangan kritikal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Menurutnya, operasi semalam memberi tumpuan kepada kawasan tadahan Empangan Muda, Pedu dan Ahning di Kedah serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.
“Teknik yang digunakan melibatkan penyemburan larutan garam ke dalam formasi awan kumulus menara menggunakan pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Analisis meteorologi menunjukkan kehadiran awan konvektif yang sangat aktif dengan kelembapan atmosfera tinggi dan keadaan tidak stabil, sekali gus mempercepat pembentukan awan hujan,” katanya.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBP), Zahid berkata, operasi itu adalah langkah intervensi untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan yang terjejas akibat cuaca kering sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Operasi OPA memberi fokus kepada 11 empangan utama dalam kategori waspada, amaran dan kritikal di Perak, Kedah, Perlis serta satu kawasan di selatan Semenanjung iaitu Johor, dari 6 hingga 8 April 2026.
Beliau berkata, hari ini, operasi diteruskan dengan mensasarkan kawasan tadahan Empangan Temenggor dan Bukit Merah di Perak.
“Usaha bersepadu seperti ini membuktikan bahawa kesiapsiagaan, tindakan berasaskan sains dan ikhtiar berterusan mampu menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan ketidaktentuan cuaca,” katanya.








