Pasport Malaysia Lonjak Ke Tangga Ke-6 Dunia

PETALING JAYA: Pasport Malaysia kini berada di kedudukan keenam paling berkuasa di dunia bagi tahun 2026, menurut laporan terbaharu Henley Passport Index Global Ranking.

Pencapaian itu menandakan lonjakan besar berbanding kedudukan ke-12 pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan di laman rasmi Facebook Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Isnin, agensi itu berkata, kedudukan itu mencerminkan keyakinan serta pengiktirafan dunia terhadap Malaysia.

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan serta pengiktirafan dunia terhadap Malaysia.

“Di samping membuktikan kekuatan hubungan diplomatik dan mobiliti global negara yang terus diperkasa,” katanya.

JIM turut menekankan bahawa pasport Malaysia bukan sekadar dokumen perjalanan tetapi simbol kedaulatan, kepercayaan antarabangsa dan kebanggaan seluruh rakyat.

Sehubungan itu, pihaknya berikrar untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan berintegriti demi memastikan keyakinan rakyat serta imej negara sentiasa terpelihara.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pencapaian itu sebagai lonjakan ketara.

“Pasport Malaysia di tempat keenam dunia bagi ranking tahun 2026. Naik dua kali ganda dari tempat ke-12 tahun lepas,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa rakyat Malaysia bakal menikmati pasport baharu dengan ciri keselamatan yang dipertingkat dalam masa terdekat.

“InsyaAllah rakyat Malaysia akan dapat pasport baharu dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat. Nantikan pada bulan Jun ini,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat