PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan keputusan Singapura menolak untuk terlibat dalam rundingan bersama Iran berhubung laluan selamat dan kadar tol di Selat Hormuz sebagai tindakan yang malang serta tidak mencerminkan kebijaksanaan diplomasi serantau.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dalam kenyataan pada Rabu berkata, langkah tersebut menunjukkan pendirian strategik yang sempit, berbanding usaha mencari kestabilan rantau.
“Kenyataan terbaru oleh Dr Vivian Balakrishnan mengenai penolakan Singapura untuk terlibat dalam perundingan dengan Iran mengenai laluan selamat melalui Selat Hormuz adalah satu kenyataan yang membongkar dan malang.
“Ia mencerminkan bukan kebijaksanaan tetapi satu pendirian strategik yang sempit yang meletakkan keutamaan terhadap penjajaran berbanding tanggungjawab serantau dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, Iran kini menjadi sasaran jenayah perang oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan kehilangan besar nyawa orang awam serta kemusnahan infrastruktur.
Menurutnya, kawalan Iran ke atas Selat Hormuz adalah sebahagian daripada usaha mencari kedamaian berkekalan.
Nurul Izzah turut menekankan bahawa Malaysia secara konsisten menegakkan prinsip diplomasi sebagai jalan penyelesaian.
Katanya, penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu ini adalah usaha untuk menjaga kestabilan serantau, keselamatan tenaga dan kepentingan lebih luas Asia Tenggara.
“Malaysia tidak akan diberi pengajaran mengenai kebaikan penglibatan.
“Kami memilih dialog kerana sejarah telah menunjukkan bahawa ketidaklibatan hanya mengundang eskalasi, bukan kestabilan.
“Kami memilih untuk bertindak kerana kepimpinan memerlukan lebih daripada sekadar jarak yang berhati-hati,” tegasnya.
Terdahulu, Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, menjelaskan di Parlimen bahawa republik itu tidak akan terlibat dalam rundingan dengan Iran kerana laluan di Selat Hormuz adalah hak semua negara berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
“Ia bukan lesen yang perlu dimohon. Ia bukan tol yang perlu dibayar. Ia adalah hak kapal-kapal dari semua negara untuk melaluinya,” katanya.








