PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menempelak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dengan mengingatkan bahawa beliau tidak boleh beranggapan akan terlepas begitu sahaja daripada membela diri secara lisan sekiranya didakwa di mahkamah berhubung isu rasuah.
Puad berkata, tindakan Rafizi yang dilihat galak menafikan sebarang penerimaan rasuah dan menjaja pelbagai naratif hanya akan mengundang ujian lebih besar di mahkamah.
“Dia (Rafizi) mendabik dada kononnya tiada satu sen pun masuk ke akaun peribadinya.
“Rafizi juga menjaja cerita bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan hadir dalam mesyuarat Kabinet ketika projek semikonduktor ARM Malaysia diluluskan.
“Rafizi menggunakan logik dengan berkata, orang yang ada fail tidak akan mencari gaduh dengan orang yang memegang fail.
“Orang yang tidak takut akan terus bercakap, terus lawan dan membuka isu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Puad turut berkata, Rafizi tidak seharusnya menyempitkan definisi rasuah hanya kerana beliau telah selesai disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tetapi Rafizi jangan menyempitkan makna rasuah.
“Ini bukan soal keberanian. Makna rasuah luas. Bagus SPRM tidak tergesa-gesa tetapi jangan terlalu riuh. Satu kampung boleh kecoh dengan dua orang yang didakwa tetapi akhirnya tidak didakwa. Malu PMX nanti.
“Rafizi boleh mendabik dada bahawa beliau telah selesai peperiksaan SPRM tetapi belum tentu lulus ujian lisan di mahkamah jika didakwa. Ini kerana definisi rasuah dan salah guna kuasa adalah luas,” katanya.
Terdahulu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa terdapat dua individu dikenal pasti berkemungkinan akan didakwa berhubung siasatan terhadap perjanjian bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat UK, Arm Holdings.
Walaupun tiada nama didedahkan, spekulasi timbul bahawa Rafizi mungkin termasuk antara individu yang berpotensi didakwa.
Rafizi sendiri sebelum ini mengakui kemungkinan beliau akan dibawa ke mahkamah berhubung kes tersebut.








