PKR Sasar Rampas Semula Indera Mahkota, Ahmad Farhan Sahut Amanah Presiden

KUANTAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ahmad Farhan Fauzi, mengesahkan beliau diberi amanah oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk merampas semula kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahmad Farhan yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri menyifatkan tanggungjawab itu sebagai cabaran besar yang memerlukan komitmen seluruh jentera parti bagi memastikan kemenangan kembali memihak kepada PKR.

“Ini amanah besar yang perlu dipikul bersama. Tanpa kerjasama semua anggota cabang, sukar untuk kita bergerak ke hadapan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Indera Mahkota, seperti dipetik berita tempatan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan keanggotaan PKR di kawasan itu kini mencecah 6,666 orang termasuk 1,962 ahli baharu, dengan sasaran meningkat kepada 10,000 ahli sebelum Kongres Nasional PKR akan datang.

Menurutnya, keyakinan untuk menawan semula kerusi berkenaan bersandarkan rekod kemenangan PKR di Indera Mahkota pada pilihan raya 2008, 2013 dan 2018, sekali gus penting bagi memastikan parti terus kekal menerajui kerajaan pada PRU16.

Pada PRU15 lalu, kerusi Parlimen Indera Mahkota dimenangi Datuk Seri Saifuddin Abdullah dengan majoriti 3,899 undi, menewaskan calon daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Pejuang.

Saifuddin sebelum itu memegang kerusi berkenaan selama tiga penggal berturut-turut sejak 2008, bermula ketika bersama PKR sebelum beralih ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan turut mengingatkan agar tiada pihak, termasuk dalam kalangan ahli sendiri, mengambil tindakan yang boleh menjejaskan imej parti.

“Menyerang Presiden PKR seolah-olah menyerang seluruh parti. Kita akan menentang sebarang usaha yang boleh memecahbelahkan parti,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat